7 Sebab Mengapa Anda Perlu “Warm Up” Sebelum Bersukan

June 16, 2011

Kesihatan

Antara kesalahan terbesar yang dilakukan oleh rata-rata orang yang bersukan ataupun bersenam adalah tidak memanaskan badan (warm up) terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti tersebut. Walaupun ia nampak remeh namun aktiviti memanaskan badan ini memberikan impak yang besar bukan sahaja pada badan anda malah pada prestasi anda ketika bersukan nanti.

Di dalam artikel ini ZL ingin berkongsi beberapa informasi berkaitan dengan kepentingan memanaskan badan sebelum bersukan atau bersenam agar ia menjadi tabiat (habit) yang dapat membantu anda. Berikut merupakan 7 sebab mengapa anda perlu “warm up” sebelum bersukan:

1. Mengelakkan Kecederaan

ZL yakin rata-rata dari kita tahu bahawa tujuan memanaskan badan adalah untuk mengelakkan kecederaan. Bayangkan tubuh badan kita seperti sebuah kenderaan. Sesebuah kenderaan itu perlu dipanaskan enjinnya terlebih dahulu sebelum ia dapat bergerak dengan lancar tanpa merosakkan enjin. Begitu juga dengan tubuh kita. Jika kita mengabaikan aktiviti memanaskan badan mungkin boleh mendatangkan kecederaan yang teruk.

2. Meningkatkan Prestasi

Mengikut kajian yang dilakukan, seorang yang melakukan aktiviti memanaskan badan didapati lebih aktif dan berprestasi tinggi di dalam sukan berbanding mereka yang tidak memanaskan badan. Ini kerana apabila seseorang melakukan aktiviti memanaskan badan, darah akan mengalir lebih banyak kedalam otot menyebabkan pembahagian nutrient ke otot yang diperlukan untuk menghasilkan tenaga berlaku dengan lebih pantas.

3. Mengelakkan Kekejangan Otot

Seperti yang saya terangkan diatas aktiviti memanaskan badan membuatkan darah mengalir ke otot dengan lebih baik. Darah itu bukan sahaja membawa nutrien malah oksigen dan elektrolit yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Kekurangan oksigen dan elektrolit ini dapat menyebabkan kekejangan otot dan cara untuk mengelakkannya adalah dengan memanaskan badan sebelum bersukan dan mendapatkan bekalan air yang mencukupi.

4. Menyesuaikan Kadar Denyutan Jantung Anda

Memanaskan badan adalah satu cara untuk memberitahu jantung bahawa anda akan melakukan aktiviti yang akan memerlukan kapisiti yang tinggi sebentar lagi. Ia dapat menyesuaikan jantung kita secara berperingkat agar ia tidak “terkejut” dengan tekanan yang datang secara tiba-tiba.

5. Mengurangkan Kesakitan Selepas Bersukan

Kadangkala apabila kita melakukan sesuatu aktiviti yang memerlukan penggunaan kapisiti otot yang tinggi seperti bersukan dan bersenam, kita akan merasai kesannya apabila kita bangun dari tidur keesokkan harinya. Ia merupakan kesan daripada aktiviti berat yang kita lakukan. Dengan memanaskan badan terlebih dahulu anda dapat mengurangkan kesakitan selepas bersukan.

6. Membantu Anda Tahan lebih Lama

Apabila kita bersukan atau bersenam badan kita akan mengeluarkan asid laktik. Pengeluaran asid laktik yang terlalu banyak dalam badan kita akan membuatkan kita berasa letih dan dan tidak bermaya. Memanaskan badan dapat mengelakkan pengeluaran asid laktik yang berlebihan dan menyebabkan kita dapat bertahan lebih lama ketika bersukan atau bersenam.

7. Membantu Anda Relaks Dan Fokus

Secara psikologi perbuatan memanaskan badan dapat membantu anda bersedia. Kita dapat lihat pada peninju yang melakukan gaya memanaskan badan seperti menumbuk-numbuk angin dan sebagainya untuk membuatkan dirinya lebih fokus sebelum perlawanan bermula. Dengan memanaskan badan anda akan menjadi lebih relaks dan berada di dalam “zon” anda sendiri. Ini dapat membantu anda memberi tumpuan terhadap aktiviti yang akan anda lakukan.

Itulah dia 7 sebab mengapa anda perlu “warm up” sebelum bersukan atau bersenam. ZL harap artikel ini dapat memberi tambahan ilmu kepada anda. Jika anda rasa artikel ini dapat memberi manfaat kepada rakan-rakan anda, klik butang dibawah untuk “share”. Assalamualaikum.

Subscribe

Subscribe to our e-mail newsletter to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

*